Sunday, October 19, 2008

Pendang...oh..Pendang

HMMMMM.. dah lama rasa nak tulih sendiri dalam blog nih. Bukan setakat cut & paste saja. Banyak benda yang dah terjadi dan banyak jugak benda yang tak jadi-jadi lagi semenjak PR mengambil alih negeri Kedah ni.

Aku tinggal di Pendang, satu tempat dalam kawasan Kedah yang amat menarik dari pelbagai sudut.Ada bendang, ada kolam, ada chalet, ada bihun Leh anak Pak Arq, ada macam2 lagi.Ada jugak beberapa orang kenamaan seperti Teh Awang Don, arwah Pak Su Omaq, abang Non Sintok, hehehe...kalau nak tulih tu banyak lagi.

nanti aku sambung...idea habih plak

Shamsiah Fakeh meninggal dunia

Oct 20, 08 1:28pm
Shamsiah Fakeh, seorang tokoh pejuang wanita terkenal yang aktif bersama Parti Komunis Malaya, menghembuskan nafas terakhir 9 jam ini di kediaman anak lelakinya.

Jenazah allahyarham, 84, yang mengalami sakit tua dan dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia minggu lepas, akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Besi, Kuala Lumpur selepas Asar.


dipetik dari www.malaysiakini.com

tak tau cara

camna nak write dalam blog orang lain ....hmmmmm

Najib pewaris kuku besi Dr Mahathir

Amin Iskandar | Oct 17, 08 5:52pm
Tidak berapa lama selepas Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan untuk tidak mengekalkan jawatan presiden Umno, muncul spekulasi mengenai kebangkitan kembali legasi pemerintahan Dr Mahathir Mohamad melalui kepemimpinan Mohd Najib Razak sebagai perdana menteri yang keenam.

Cakap-cakap ini bukan sahaja berlegar di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat dan penentang-penentang Umno, malahan ia turut diperkatakan oleh pemimpin Umno sendiri.

Zaid Ibrahim, yang meletakkan jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada kabinet Abdullah ekoran penggunaan ISA baru-baru ini, lantang menyuarakan kebimbangan ramai tentang kemungkinan itu.

Menurut peguam itu, jika Najib menjadi perdana menteri, “Mahathirisme” akan kembali di Malaysia. Lebih parah lagi, beliau turut meramalkan bahawa Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri de facto di belakang Najib.

Ini kerana ahli parlimen Pekan - yang hanya menang dengan majoriti 241 pada pilihanraya umum 1999 - dilihat sebagai benteng peninggalan Dr Mahathir di zaman pemerintahan Abdullah.

Ketika Zaid masih bersama kabinet, reformasi kehakiman yang cuba dibawanya – sebagai sebahagian projek reformasi perdana menteri – telah ditentang hebat oleh kelompok-kelompok pro-Dr Mahathir yang bernaung bawah payung Najib.

Anak bekas perdan menteri yang kini bakal menduduki jawatan Pemuda Umno, Mukhriz Mahathir menyerang Zaid secara terbuka di Dewan Rakyat dengan mengatakan menteri de facto undang-undang itu melaksanakan "apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat".

Walaupun reformasi kehakiman direstui oleh Abdullah, ia tetap tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin Umno (juak Dr Mahathir) yang jelas menentang segala usaha untuk melaksanakan pembaharuan ke arah memantapkan demokrasi di Malaysia.

Ketika pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, rakyat menyaksikan bagaimana kerasnya beliau apabila berhadapan dengan penentang-penentangnya – sama ada dalam atau luar kerajaan dan partinya.

Dalam Umno, Musa Hitam dan Anwar Ibrahim terpaksa membayar kos politik yang besar sewaktu menjadi timbalannya kerana kekhuatirannya mereka boleh mencabar kedudukan teratasnya.

Hanya pemimpin seperti Abdullah yang boleh mengiyakan apa sahaja tindakan Dr Mahathir sehingga akhirnya berjaya menjadi perdana menteri kelima.

Lagipun kerana Mahathir sedar, jika beliau terus menerajui pemerintahan negara, nasibnya mungkin akan sama seperti apa yang berlaku kepada Soeharto di Indonesia dan Marcos di Filipina – ditumbangkan oleh gerakan rakyat yang menuntut reformasi.

Dalam kalangan penentang-penentang Dr Mahathir di luar Umno, nasib mereka lebih parah lagi.

Pada November 1985, berlaku tragedi Memali di Baling, Kedah yang sungguh menyayat hati. Ibrahim Libya dan tiga belas orang penyokongnya terkorban, manakala 159 penduduk kampung itu ditahan polis untuk menutup tragedi berdarah di kampung terpencil itu.

Dr Mahathir cuci tangan daripada insiden itu, dan sebaliknya menyalahkan Musa, timbalan perdana menteri merangkap menteri dalam negeri yang berada di dalam negara pada ketika itu. Dr Mahathir berada di luar negara.

Mengenali cara pemerintahan Dr Mahathir, tanpa restunya, tidak mungkin Musa berani mengeluarkan arahan kepada polis untuk bertindak.

Pemimpin-pemimpin pembangkang dan aktivis sosial turut menjadi mangsa kekejaman politik Dr Mahathir. Pada Oktober 1987, Operasi Lalang membaham 106 orang, memaksa mereka berdekam bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tokoh-tokoh politik yang menjadi mangsa antaranya Lim Kit Siang, Karpal Singh, Kua Kia Soong, Lim Guan Eng, Ibrahim Ali, Chandra Muzaffar, Mohammad Sabu, Mahfuz Omar, dan Yunus Ali.

Kestabilan ekonomi sering dijadikan alasan Dr Mahathir menghalalkan tindakan menutup ruang demokrasi – walaupun jelas ia ditujukan kepada pengkritik-pengkritiknya.

Selain Dr Mahathir, Lee Kuan Yew dari Singapura juga turut menggunakan alasan yang sama untuk bersikap kuku besi di republik itu.

Sebenarnya alasan tersebut telah dibuktikan tidak benar di Korea Selatan.

Selepas demokrasi dikembalikan di negara tersebut pada tahun 1987, pertumbuhan ekonomi negara tersebut berjalan dengan rancak.

Kini Korea Selatan boleh berbangga dengan pencapaian ekonominya di Asia kerana berdiri bersama-sama dengan Jepun, Singapura dan Taiwan.

Najib, yang berjinak dengan politik Mahathirisme, adalah tokoh Umno yang mampu untuk menjalankan pemerintahan bekas pemimpin itu.

Oleh kerana anak Razak Hussein itu, bekas perdana menteri, tidak dikenali sebagai seseorang yang mempunyai ideologi atau pemikiran asli, mudah baginya untuk melaksanakan pemerintahan dengan menggunakan nasihat Mahathir.

Sebab itu dalam wawancaranya, Zaid berkata:

Anda mempunyai 22 tahun era Dr ahathir. Katakanlah Najib bertahan menjadi PM selama 10 tahun, ertinya 32 tahun Malaysia berada bawah Mahathir.

Keputusan pilihanraya umum 8 Mac jelas membuktikan bahawa semakin ramai rakyat Malaysia menolak Barisan Nasional dan menuntut perubahan.

Jika Najib mahu meneruskan era kuku besi ala Dr Mahathir, tidakkah beliau takut dengan kebangkitan rakyat?

Jika Mahathir dan Abdullah selamat daripada diturunkan melalui pilihan(jalan)raya, apakah Najib akan mengulangi nasib Soeharto dan Marcos?

Selain dibelenggu bayang-bayang Dr Mahathir, Najib turut dibayangi oleh imej isterinya Rosmah Mansor – seumpama Imelda Marcos, isteri presiden Filipina yang digulingkan oleh kekuatan rakyat pada 1986.

Imelda terkenal dengan kehidupan bergaya dan pernah dilaporkan membelanjakan USD5 juta ketika membeli-belah di New York, Rom dan Copenhagen pada 1983 di kala majoriti rakyat Filipina dibelenggu kemiskinan.

Imelda juga pernah membelanjakan USD51 juta untuk membeli Crown Building di kawasan mewah Manhattan pada 1980-an.

Rosmah tidak kurang juga hebatnya. Baru-baru ini ahli parlimen Gombak, Azmin Ali membangkitkan di Dewan Rakyat mengenai aktiviti membeli-belah Rosmah ketika berada di luar negara.

Orang rumah Najib dikatakan menggunakan Kedutaan Malaysia di London untuk urusan penghantaran pulang barang-barang tersebut ke Malaysia.

(Najib menafikan dakwaan naib presiden PKR itu)

Rosmah juga tercemar dengan imej kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra Kamarudin, yang kini meringkuk bawah ISA, mendakwa sedemikian dalam akuan bersumpahnya tetapi Najib dan Rosmah menafikannya.

Raja Petra yang kini masih dibicarakan dibawah Akta Hasutan kerana menulis artikel tersebut turut ditahan di kem Kamunting, Taiping selama dua tahun.

Jika Malaysia kembali lagi ke era ala Dr Mahathir, rakyat berundur semula ke zaman yang lebih gelap.

Tetapi seorang teman diskusi penulis bersikap positif dalam hal ini. Katanya: “lebih keras penindasan, maka lebih keraslah perlawanan.

“Lebih kuat Najib menekan, lebih cepat Barisan Nasional akan disumbat dalam tong sampah sejarah”.

dipeti dari www.malaysiakini.com

Najib belum selamat,Abdullah sedang susun strategi

Irwan Muhammad Zain
Sun | Oct 19, 08 | 7:02:33 am MYT

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Hrkh) - Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berkemungkinan tidak berpeluang untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri ekoran beberapa isu terkini yang dikaitkan dengan beliau.


Beberapa penganalisa politik berkata, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi biarpun ditekan hebat oleh pemimpin Umno agar berundur diri tidak akan melepaskan jawatan tersebut dengan mudah.

Sebaliknya, Abdullah kini sedang menyusun strategi untuk memerangkap Najib dengan pelbagai isu yang boleh memusnahkan impian anak bekas Perdana Menteri kedua itu untuk menerajui kerajaan.

Abdullah yang dibantu oleh menantu beliau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama geng tingkat empatnya sedang mengumpul sebanyak mungkin bukti penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh Najib sepanjang memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Pendedahan kelulusan pembelian helikopter Cougar EC 725 kepada syarikat Eurocopter dalam "keadaan meragukan" serta dakwaan salah guna kuasa dalam kes Altantuya dikatakan dirancang oleh Khairy dan 'budak tingkat empat'.

Abdullah dilaporkan telah memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan baru-baru ini untuk meneliti hal ehwal tender pembelian helikopter tersebut.

"Keputusan Abdullah bertukar dari kementerian kewangan ke kementerian pertahanan kerana beliau mahu mendapatkan bukti untuk menjatuhkan Najib," kata penganalisa politik yang enggan identitinya dikenali.

Kata penganalisa politik itu lagi, Najib sepanjang memegang jawatan Menteri Pertahanan telah membiarkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkuasa hingga dikatakan memiliki pejabat sendiri di kementerian tersebut.

"Ada yang mengatakan kalau mahu dapat kontrak dengan kementerian pertahanan perlu jumpa Rosmah bukan Najib," kata penganalisa politik itu lagi.

Abdullah juga dikatakan sengaja mengarahkan agar pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin ditahan dibawah ISA kerana bimbangkan keselamatan penulis kontroversi itu.

Tindakan menahan Raja Petra dilakukan semata-mata kerana tidak mahu Najib mengupah sesiapa sahaja mencederakan atau membunuh penulis tersebut.

Raja Petra yang banyak mendedahkan salah laku Najib dikatakan memperolehi maklumat dari orang Abdullah.

Kandungan SMS antara Najib dan peguam kanan Dato' Muhammad Shafee Abdullah, dipercayai telah diberikan kepada pengedali Malaysia-Today oleh 'orang' Khairy kerana mahu memastikan imej Najib terus tercalar dan akan disiasat serta didakwa atas dakwaan salah guna kuasa.

Jika Najib didakwa, Abdullah akan mengumumkan pelan peralihan kuasa dibatalkan dan terus kekal sebagai Perdana Menteri serta akan melantik Timbalan Perdana Menteri baru.

Manakala seorang lagi penganalisa politik pula berkata tindakan Abdullah menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Najib merupakan isyarat tersembunyi untuk menjatuhkan Timbalan Perdana Menteri itu.

Kata penganalisa politik itu, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik tanahair seorang menteri kewangan akan dilantik menjadi Perdana Menteri sebaliknya kebanyakan mereka akan disingkirkan.

Dengan mengambil contoh penyingkiran yang dilakukan oleh Tun Mahathir terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Abdullah akan menggunakan cara yang sama untuk menyingkirkan Najib. - mks. _

dipetik dari www.harakahdaily.net

Abdullah bidas Dr Mahathir

Oct 18, 08 11:27pm

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas bekas perdana menteri Datuk Seri Dr Mahahir Mohamad yang menurutnya berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan "siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan".

Perdana Menteri berkata Umno tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.

“Siapakah Tun yang dah keluar parti Umno itu nak cuba membuat arahan kepada orang Umno apa yang patut dilakukan?

“Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pemilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu...orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?," katanya dalam sidang di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam ini.
Menurut Bernama, Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan Umno "mengusir orang-orang Abdullah" dalam pemilihan parti itu Mac depan.

"Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian. Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya.

"Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik...orang yang tidak pernah membuat baik untuk Umno dan kerajaan.

"Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli Umno, mengajar ahli Umno bergaduh sesama sendiri," katanya.

Abdullah berkata beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan presiden Umno bagi mengelakkan perbalahan sesama anggota parti.

"Oleh sebab adanya pertandingan sebagaimana yang biasa berlaku terutama di peringkat atasan berpecah belah. Kita patut belajar daripada apa berlaku dulu.

"Cakap macam ini akan menimbulkan kemarahan kepada mereka yang dianggap tidak boleh terima, mesti diketepikan.

"Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam Umno," kata Abdullah.

Menurut perdana menteri, gesaan Mahathir itu tidak akan mendatangkan kebaikan.

"Inikah "reform" yang diharapkan...Kita ada kebebasan, tiap-tiap ahli Umno ada kebebasan untuk bertanding.

"Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik...Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?.

"Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding....tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang Umno menentukannya," katanya.

Dalam hal ini, anggota Umno tidak perlu orang daripada luar untuk memberi arahan.

"Adalah lebih baik Tun tak cakap langsung pada hari ini," katanya.

dipetik dari www.malaysiakini.com

Sunday, October 12, 2008

Perjalanan terakhir seorang Dolah

Hishamuddin Rais | Oct 7, 08 12:59pm
Dialkesahkan maka orang-orang kampung pun berkumpullah untuk melihat dan melangok. Maka gendang pun dipalu dan canang dipukul. Ada yang mencangkung, ada yang berdiri melihat gelagat segala peri.

Ketua cawangan naik Proton
Ketua bahagian naik Wira
Kontraktor kelas F naik Honda
Putera datang naik tongkang
Puteri datang membawa kangkang
Para YB naik Mercedes
Menteri datang takut muflis
Datang berkumpul bukan menangis
Dolah berundur amatlah tragis

Mereka datang berkumpul untuk melihat muka Dolah kali terakhir sebagai perdana menteri, sebagai presiden United Malays National Organisation dan sebagai pengerusi Barisan Nasional.

Mari mendengar surah saya tentang apa yang berlalu lima tahun dahulu.

Ketika Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, saya masih berada di kem tahanan Kamunting. Berita tangisan Mahathir saya sambut dengan ketawa terbahak-bahak.

Gambar Mahathir menangis di perhimpunan agung Umno itu amat lucu sekali.

Sampai sekarang saya tidak dapat melupakan kasut Rafidah Aziz yang terpatah kerana hendak mengejar dan mencium lutut Mahathir. Semenjak hari itu Dolah telah mula memasang badan sebagai perdana menteri.

Pada malam saya bakal dihantar ke kem Kamunting (Jun 2001) – surat arahan menahan dua tahun – telah ditandatangani oleh Abdullah Ahmad Badawi kerana ketika itu dia menjawat Menteri Dalam Negeri.

Pernah wartawan bertanya kepadanya tentang 10 penggerak Reformasi yang ditahan dibawah ISA, Dolah telah menjawab "...saya tidak tahu..."

Di Kamunting, apabila saya mendengar jawapan "saya tidak tahu" daripada Dolah, maka terlintas juga di kepala saya mungkin si Mamat ini seorang jantan politik yang licik. Dapat mengelak soalan daripada para wartawan.

Apabila saya dibebaskan dua tahun kemudian, saya telah mementaskan teater Tok Sloo dan Bilik Sulit. Bilik Sulit ialah tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), manakala Tok Sloo pula teater komedi.

Dua buah drama ini telah dibawa keliling Semenanjung untuk dipertontonkan kecuali di Perlis.

Tok Sloo memecahkan perut saya sendiri. Saya menulis watak Tok Sloo berdasarkan watak Dolah dan orang-orang di sekelilingnya. Dolah pada ketika teater ini ditulis baru sahaja menjadi perdana menteri.

Scomi – syarikat milik Kamaluddin anaknya - masih belum heboh dan masih belum glamor lagi. Peniaga komponen nuklear BSA Tahir belum menjadi hiasan muka depan majalah Time.

Khairy Jamaluddin baru selesai bersunat politik kerana dapat berkahwin dengan Nori. Kak Endon masih hidup. Kalimullah masih belum kaya-raya. Monsoon Cup dan Jackie Chan belum pernah sampai di Seberang Takir.

Selesai pementasan keliling di Semenanjung, saya telah bertemu dengan seorang kawan lama saya, Cikgu Hashim dari Perlis.

Kami bersembang di sebuah warung pokok ketapang di hadapan pejabat Malaysiakini, Bangsar Utama. Sambil ketawa, sambil kami berlabun tentang siasah semasa.

Akhirnya sampai kepada watak Tok Sloo. Kami ketawa berdekah- dekah. Akhirnya kawan saya ini memberi satu nasihat "... kamu janganlah lawan Dolah ini... Kalau kamu tulis keras sangat tentang dia, macam kamu lawan orang cacat..."

Inilah kata-kata yang membuatkan saya terbarai ketawa hingga ke hari ini.

Apabila saya duduk bersendirian di hadapan komputer dan ingin menulis sesuatu tentang Dolah, maka saya teringat pesanan kawan itu.

Apabila saya perhatikan gerak dan tingkah laku politik Dolah, maka saya cukup yakin bahawa susuk yang bernama Dolah ini ‘orang cacat’ dari segi pemahaman politik.

Akhirnya saya menarik diri daripada mempersendakan Dolah. Saya rasakan cukup tidak adil jika saya terus menulis tentang manusia ‘cacat’ ini.

Saya rasa macam saya bergaduh dengan budak-budak.

Dari awal lagi saya telah menulis bahawa Dolah ini adalah perdana menteri accidental – atau PM yang tidak tersengaja. Dolah tidak memiliki ciri dan pola yang boleh dinobatkan sebagai pemimpin negara.

Dolah dijadikan perdana menteri hasil perancangan licik Mahathir.

Mahathir tidak salah pilih, dia sengaja memilih ‘si cacat’ ini agar dia sendiri akan menjadi Pak Dalang di belakang tabir.

Hanya satu kesilapan Mahathir, dia kurang sedar ada ramai dalang-dalang lain – Khairy, Kamaludin, Kak Endon dan Kalimullah - yang juga bersiap sedia untuk menjadi Pak Dalang kepada si Dolah.

Pada tahun pertama Dolah sebagai PM, cerita mula tersebar bagaimana Dolah ini suka tidur ketika bekerja atau dalam mesyuarat. Pada awalnya saya rasa cerita-cerita ini hanyalah 'kempen hitam' oleh musuh-musuh Dolah dalam United Malays National Organisation.

Tetapi apabila gambar demi gambar mula muncul memperlihatkan 'Dolah tidur', maka saya yakin ‘kecacatan’ Dolah ini tidak mungkin dapat diperbaiki.

Teman-teman sekolah saya yang menjadi ahli perniagaan mula bercerita betapa Dolah tidak memilki keupayaan untuk mendengar taklimat projek-projek yang cuba dibangunkan.

Dolah tidak memiliki daya fikir yang lapang dan luas. Saya juga difahamkan si Dolah ini tidak membaca dan tidak memiliki daya fikir yang dapat melihat dengan jauh dan terperinci.

Pada pilihanraya umum 2004 Dolah telah diberikan mandat besar tetapi Dolah kurang arif untuk memahami makna mandat itu. Semua perancangan yang dibuatnya tinggal terbengkalai setengah jalan.

Dolah mengajukan Islam Hadhari, tetapi saya juga was-was apakah Dolah sendiri memahami konsep yang diajukannya itu.

Para kroni Dolah makin naik tocang. Mereka membedal dan membelasah apa sahaja dana negara yang boleh mereka sebat. Dolah sebenarnya tidak memahami satu pun teori ekonomi, jauh sekali untuk menghadam pergolakan politik global.

Dolah bukan seorang insan yang jahat, ganas dan licik seperti Mahathir. Dolah tidak memiliki sifat membunuh seteru politiknya. Dolah ini seorang yang warak dan berperangai baik. Dolah seorang ritualis agama.

Kalau di kampung saya di Jelebu, Dolah ini akan dilantik sebagai Tok Siak. Sekali-sekala kalau Tok Imam masjid demam, mungkin dia akan dibenarkan mengepalai sembahyang.

Dalam adat Perpatih di Jelebu, Dolah ini tidak akan duduk di anjung rumah bersama kepala adat. Dia akan duduk di tepi pintu untuk mengangkat dulang dan cawan.

Kalau di penanggah di kampung saya, Dolah ini akan menjadi pengacau beras di kawah ketika kenduri-kendara - tidak lebih daripada itu.

Akhirnya Dolah betul-betul menjadi watak Tok Sloo. Ada kesedihan juga dalam hati saya apabila Dolah berundur. Saya sedih dan kasihan melihat Dolah yang ‘cacat’ ditibai Muhyidin yang menjadi suruhan Mahathir.

Dolah terkapai-kapai hilang nafas.

Penasihat-penasihat politik Dolah hanyalah budak yang baru bersunat politik – tidak dapat melakukan apa-apa selain daripada meminta tandatangan akhir dari Dolah untuk projek-projek skim cepat kaya.

Apakah agaknya yang akan kita ingati tentang Abdullah Ahmad Badawi sepuluh tahun dari hari ini?

Mungkin kita akan teringat tentang Dolah yang suka tidur. Atau Dolah bapak mentua KJ. Atau Dolah yang cuba membuka ruang demokrasi di Malaysia tetapi telah digagalkan oleh Mahathir kerana bekas PM itu telah menyediakan budak suruhannya yang akan bersumpah bersetia agar tidak dihantar ke Mongolia untuk menjadi duta.

Hari-hari akhir seorang Dolah sampai
Kamal datang dengan Scomi
KJ datang dengan Nori
Kali datang dengan AirAsia
Jeanne datang dengan kain tudung baru
BSA Tahir datang memakai topeng
Saat akhir akan berlalu
Mereka amat bersedih dan terharu
Dolah terlupa memakai celana dan sepatu

Maka demikianlah berakhir kesah Tok Sloo
Untuk dijadikan tauladan dan sempadan
Dari anak kepada cucu dari cicit kepada menantu
Untuk jadi ingat-ingatan sepanjang zaman

dipetik dari www.malaysiakini.com

Saturday, October 11, 2008

Mukhriz 29, Khairy 14, Khir 7

Abdul Rahim Sabri & Muda Mohd Noor | Oct 11, 08 8:50am

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir memperolehi 29 pencalonan sehingga ini untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Beliau meninggalkan seorang lagi calon bagi jawatan tersebut - Khairy Jamaluddin - jauh di belakang. Khairy mendapat 14 pencalonan sehingga ini.

pencalonan terkini mukhriz dan khairyManakala seorang lagi calon, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendapat tujuh pencalonan.

Sejumlah 53 daripada 191 bahagian Pemuda Umno di seluruh negara telah selesai bermesyuarat hari ini.

Mukhriz mendapat pencalonan daripada Permatang Pauh, Bagan, Pokok Sena, Kota Melaka, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor, Jerlun, Besut, Kimanis, Alor Star, Cameron Highlands, Teluk Intan, Pagoh, Pasir Gudang, Kalabakan, Langkawi, Kuantan, Rasah, Jelebu, Jempol, Ipoh Barat, Lipis, Bentong, Tenggara, Padang Rengas, Subang, Kampar, Kota Belud dan Tuaran,

Ini bermakna Mukhriz memerlukan sembilan pencalonan lagi untuk layak bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Setiap calon diwajibkan memperolehi 20 peratus atau 38 pencalonan dari 191 bahagian. Manakala calon naib ketua pula memerlukan 15 peratus atau 29 pencalonan.

Sementara Khairy pula dicalonkan oleh Bagan Serai, Gelang Patah, Pontian, Kota Kinabalu. Machang, Pengkalan Chepa, Ketereh, Silam, Bandar Tun Razak, Bagan Datoh, Beruas, Bachok, Raub dan Rompin,

Khir mendapat sokongan dari Masjid Tanah, Mersing, Shah Alam. Tumpat, Kapar, Cheras dan Taiping,

Bagi jawatan naib ketua Pemuda, ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim mendahului dengan 27 pencalonan.

Ini bermakna, beliau hanya perlu dua lagi pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Setakat ini, pesaing terdekat beliau ialah Exco Pemuda dan Ketua Pemuda Permatang Pauh Datuk Reezal Merican Naina Merican yang mendapat 18 pencalonan.

Manakala pesaing lainya ialah ketua Pemuda Kota Kinabalu Baharol Raza Chuprap (satu), Exco Pemuda Marzuki Yahaya (satu) dan ketua Pemuda Kapar, Selangor Faizal Abdullah (satu).

Khairy tambah pencalonan

8.20 malam Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan ke-12 dari bahagian Bagan Datoh, Perak. Bahagian itu juga mencalonkan Exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican bagi jawatan naib ketua.

7.50 malam Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir terus menambah pencalonan yang diterimanya. Kali ini beliau mendapatkan pencalonan ke-19 dari Pemuda bahagian Teluk Intan.

Bahagian Teluk Intan juga mencalon ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim yang juga ketua Pemuda Johor untuk jawatan naib ketua.

7.25 malam Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat pencalonan keenam dari bahagian Cheras. Manakala ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim dicalon untuk jawatan naib ketua Pemuda.

7.23 malam Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendapat satu lagi pencalonan dari bahagian Pokok Sena. Beliau kini mendapat 18 pencalonan.

Manakala Exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican dicalonkan untuk jawatan naib ketua Pemuda.

7.20 malam Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendapat pencalonan ke-17 dari Pemuda Umno bahagian Kalabakan, Sabah. Reezal dicalonkan untuk jawatan naib ketua.

7.00 malam Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendapat pencalonan ke-16 dari Pemuda Umno bahagian Padang Rengas Perak. Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim dicalonkan untuk jawatan naib ketua.

Mukhriz mendapat 80 undi manakala Khairy Jamaluddin mendapat 32 undi. Razali pula dicalonkan sebuat suara.

6.30 petang Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapatkan pencalonan kelima dari bahagian Shah Alam untuk bertanding ketua Pemuda Umno Malaysia.

6.20 petang Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan ke-11 dari bahagian Pontian. Bahagian itu juga mencalonkan ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim sebagai naib ketua Pemuda.

6.15 petang Pemuda bahagian Pagoh sebulat suara mencalonkan Datuk Mukhriz Mahathir untuk jawatan ketua Pemuda. Beliau kini mendapat 15 pencalonan.

Manakala Razali dicalonkan, juga sebulat suara untuk jawatan naib ketua bahagian.

6.10 petang Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat pencalonan empat - dari bahagian Mersing.

6.05 petang Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat satu lagi pencalonan dari bahagian Mersing. Beliau kini mendapat tiga pencalonan.

Manakala Razali dicalonkan oleh Mersing untuk jawatan naib ketua Pemuda.

6.00 petang Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendapat satu lagi pencalonan - dari bahagian Rompin. Dengan itu, pencalonannya meningkat kepada 10.

Khairy mendapatkan 98 undi manakala Mukhriz mendapat 64 undi. Manakala Dr Mohd Khir mendapat dua undi.

Bagi Naib pula, Rompin mencalonkan Razali Ibrahim sebulat suara.

5.00 petang Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir mendapatkan dua lagi pencalonan, dari bahagian Kuantan dan Bentong, menjadikan jumlahnya meningkatkan kepada 14 pencalonan.

Di Bentong, Mukhriz mendapat 54 undi manakala bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat 15 undi.

Bentong juga mencalonkan sebulat suara exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican bagi jawatan naib ketua

4.30 petang Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau, semakin merapatkan jurang pencalonan dengan Mukhriz apabila beliau memperolehi lima lagi pencalonan - menjadi 9 pencalonan - untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

4.00 petang Mukhriz pula mendapat empat lagi pencalonan, iaitu dari bahagian Lipis, Jempol dan Jelebu hari ini

3.30 petang Khairy mendapatkan lima pencalonan dari bahagian Beruas, Kota Kinabalu, Bagan Serai, Raub dan Bandar Tun Razak - untuk mengumpul sejumlah tujuh pencalonan setakat ini.

Di Beruas, Khairy mendapatkan 63 undi manakala Mukhriz mendapat 21, manakala bahagian Kota Kinabalu sebulat suara mencalonkan Khairy.

Bagi jawatan naib presiden, Beruas mencalonkan exco Pemuda, Datuk Reezal Merican Naina Merican. Kota Kinabalu pula mencalonkan ketua Pemudanya, Bahrul Razha Chuprat untuk bertanding naib ketua pusat.

Bahagian Serai memilih Khairy dan Reezal secara sebulat suara.

Di Raub, Khairy mendapat 73 undi manakala Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat 37 undi.

Sebelum itu, Khairy mendapat pencalonan daripada Machang, Pengkalan Chepa, Silam dan Ketereh.

Bagaimanapun, Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun, masih mendahului apabila mendapat empat pencalonan hari ini, termasuk bahagian Lipis dan Pasir Gudang - menjadi jumlahnya sebelas setakat ini.

Di Lipis, Mukhriz mendapat 94 undi, Khairy memperolehi 47 manakala bekas Dr Mohd Khir mendapat 2 undi.

Di Jempol pula, Mukhriz mendapat 168 undi manakala Khairy memperolehi enam undi sahaja.

Di Jelebu, Mukhriz mendapat undi terbanyak, manakala Khairy mendapat empat undi manakala Dr Mohd Khir (8)

Bagi naib presiden pula, Lipis mencalonkan ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim. Jempol turut mencalonkan Razali untuk naib ketua. Razali juga mendapat pencalonan dari bahagian Raub dan Jelebu.

Mukhriz sebelum ini mendapat pencalonan dari bahagian Jerlun, Besut, Kimanis, Alor Star, Cameron Highlands, Kota Melaka, Tasek Gelugor dan Bukit Gelugor.

bahagian umno meeting hari ini

Cameron Highlands, yang turut mencalonkan ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim untuk jawatan naib ketua.

Manakala bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendapat dua pencalonan dari Bahagian Tumpat dan Kapar.


Seorang lagi calon - timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin belum mendapat pencalonan.

Reezal sehingga jam 4.30 petang mendapat enam pencalonan manakala Razali mendapat lima pencalonan untuk jawatan naib ketua.

Pencalonan Muhkriz dan Razali dibuat secara sebulat suara oleh perwakilan Bukit Gelugor.

Bagaimanapun di Tasek Gelugor, selepas pengundian, Mukhriz mendapat 124 undi manakala Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau, memperolehi 36 undi.

Di bahagian Kota Melaka pula, Mukhriz memperoleh 98 undi manakala Khairy memperolehi 69 undi.

Sementara itu, kira-kira 23 bahagian Pemuda, Wanita dan Puteri yang bermesyuarat hari ini untuk memilih calon ketua pergerakan masing-masing di peringkat bahagian dan pusat.

Antaranya ialah bahagian Jempol,Jelebu, Beruas, alabakan, Pontian, Silam, Bagan Serai, Semporna, Kota Kinabalu, Kuantan, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor, Parit Buntar, Taiping, Pasir Gudang dan Pagoh.

Manakala yang lainnya termasuk Pagoh, Kampar, Kota Melaka, Mersing, Cheras, Bandar Tun Razak, Bukit Bintang dan Titiwangsa.

dipetik dari www.malaysiakini.com

Amanat Abdullah lantik Najib sebagai PM salah dari segi undang-undang

Ekmal Yusof
Sat | Oct 11, 08 | 10:55:33 am MYT

PARIT BUNTAR, 11 Okt (Hrkh) - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Ruslan Shahrum menegaskan amanat yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melantik Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri selepasnya adalah salah dari segi undang-undang negara.

"Mempengaruhi ahli dengan cara paksa menggantikan Perdana Menteri Malaysia selepasnya itu adalah melanggar Perlembagaan dan tidak pernah dibuat sebelum ini oleh mana-mana Perdana Menteri yang hendak bersara atau hendak berhenti," katanya pada ceramah umum Dun Titi Serong dekat sini malam tadi.

Menurut beliau, jawatan Perdana Menteri adalah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan dipersetujui Ahli Parlimen dan persetujuan rakyat.

"Bukannya boleh memandai-mandai membuat perlantikan sendiri seperti yang dilakukan Dato' Seri Abdullah Ahmad baru-baru ini yang menyebut Dato' Seri Najib jadi Perdana Menteri Malaysia selepasnya nanti," katanya.

Dengan itu tegasnya, sudah nyata untuk jawatan Perdana Menteri harus dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong dan semua rakyat bukan Abdullah seorang. - mns_

dipetik dari www.harakahdaily.net

Tuesday, October 7, 2008

Semoga berjaya kepada Khairy - Dr M

Abdul Aziz Mustafa
Tue | Oct 07, 08 | 6:31:16 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, mereka yang bercita-cita hendak bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti itu 2004 lalu "menerima panggilan telefon dari ahli keluarga Perdana Menteri,Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan penyokong-penyokong lain yang berpengaruh supaya jangan melakukan apa-apa" yang menjejaskan keinginan menantunya, Khairy Jamaluddin untuk memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding.

Dr Mahathir seterusnya mendakwa, pada pemilihan itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga memberi amaran kepada mereka yang berkemungkinan akan dicalonkan ke jawatan itu supaya jangan bertanding kerana jawatan itu dikhaskan untuk menantu Perdana Menteri.

Akhirnya, Khairy yang disebut oleh Dr Mahathir sebagai tidak mempunyai sebarang rekod prestasi memenangi jawatan itu.

Untuk pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno kali ini, dengan nada sinis yang dilihat menjadi kebiasaannya, bekas Presiden Umno itu menyatakan beliau begitu sedih dengan nasib Khairy yang mendakwa kononnya beliau dihalang dari menemui ahli-ahli Pemuda.

"Saya menasihatkan beliau supaya tidak merasa kecewa. Terdapat begitu banyak cara untuk mempengaruhi Pemuda selain bertemu mereka.

"Saya tidak akan menyebutkan satu persatu kerana beliau akan tahu menggunakan cara-cara lain itu," Dr Mahathir meneruskan nada sinisnya sambil menyatakan Khairy akan menang dengan mudah walaupun anaknya, Datuk Mukhriz juga akan bertanding sebagai Ketua Pemuda.

"Saya tidak tahu adakah orang pernah mendengar tentang pencuri yang menjerit-jerit 'pencuri, pencuri!'.

"Pencuri itu terlepas kerana mereka yang tidak begitu cerdik mengejar ke arah yang berlainan (kerana menyangka pencuri berada di situ). Pencuri yang berpendidikan tinggi itu terlepas begitu sahaja dengan barang curiannya.

"Saya ucapkan semoga berjaya kepada Khairy. Kamu pintar dan berbaloi menjadi graduan pintar institusi hebat, Universiti Oxford," kata Dr Mahathir lagi.

Sebelum ini, menantu Perdana Menteri itu yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno mendakwa beliau disekat daripada bertemu dengan ahli-ahli pergerakan itu._

dipetik dari www.harakahdaily.net

Monday, October 6, 2008

"Acik,bawa balik ayah ya..."

Azamin Amin
Mon | Oct 06, 08 | 1:38:14 pm MYT

Suasana bilik berpintu besi itu sepi seketika. Masa melawat sudah tamat. Perjalanan sejauh 250 kilometer dari Simpang Durian, Negeri Sembilan ke Kem Kamunting Taiping, Perak dengan menaiki bas, dirasakan tidak berbaloi kepada kedua anak beranak ini. Bergerak subuh hari untuk bertemu yang dirindui dan dicintai namun masa membatas hanya sekadar sejam cuma.

Suasana bilik berpintu besi itu sepi seketika. Masa melawat sudah tamat. Perjalanan sejauh 250 kilometer dari Simpang Durian, Negeri Sembilan ke Kem Kamunting Taiping, Perak dengan menaiki bas, dirasakan tidak berbaloi kepada kedua anak beranak ini. Bergerak subuh hari untuk bertemu yang dirindui dan dicintai namun masa membatas hanya sekadar sejam cuma.

Dari rumah, Fathur Rahman Al- Ghazi, 4 tahun sudah segak bergaya, tidak sabar untuk berjumpa ayahnya. Di tangannya beberapa helai kertas kosong dan sekotak pensil warna digenggam kemas. Nak ayah lukis, lepas itu abang warnakan, beritahu Fathur kepada ibunya.

Setelah tiba lima jam kemudian dan seronok mewarnakan lukisan ayah sambil membiarkan ibunya berberbual, kini semangat riangnya mula berkecai ketika ibunya menyapa lembut Fathur untuk pulang meninggalkan ayahnya.

Hidayu Kamrulzaman, 25 cuba memujuk si kecil Fathur agar melepaskan dakapan erat di tubuh sang ayah. Meronta-ronta, disusuli esak tangisnya lantas dibelai ayahnya semula dengan nada sayu:

"Nanti ayah balik ya. Ayah ada kerja..." kata ayahnya Muhammad Amir Mat Hanafiah sambil merungkai perlahan-lahan jemari halus anaknya itu yang mencengkam tidak mahu melepaskan pergi.

"Ayah kerja polis ya mak?," Andaian sang anak sambil memandang dua orang pengawal beruniform yang berada di sisi ayahnya. Masih tidak mengerti kenapa ayahnya berada di situ meninggalkannya setahun lamanya.

"Aaa..aa, ayah kerja polis. Tak dapat cuti lagi," jawab Hidayu sekali lagi dengan nada pilu menjelaskan semula peristiwa menghayat hati di Kem tersebut kepada kami, wakil Harakah yang singgah bertandang ke rumahnya baru-baru ini.

"Maaflah, saya terpaksa menipu ...dia sudah cerdik. Bayangkanlah bagaimana kalau dia tahu ayahnya ditangkap polis, apa yang nak saya katakan padanya nanti," terang Hidayu lagi kepada kami sambil memangku anak bongsunya Ubaidah Al-Harith, 1 manakala anak keduanya Uwais Al-Qarani, 3 rancak bermain dengan si abang, Fathur.

"Saya tak mampu nak bawa ketiga-tiga mereka. Saya bawa seorang sahaja, bergilir-gilir setiap kali pergi melawat. Tambahan pula naik bas dari sini," jelasnya sambil didatangi Fathur dan Uwais ke riba kami bertiga.

Mata sudah mula berkaca tatkala si abang memegang baju lengan baju ibunya lalu bersuara lembut kepada saya:"Bawa balik ayah ya?"

Manakala si adiknya Uwais memeluk erat pula rakan wartawan, Wan Nordin seolah-olah melepaskan kerinduan yang teramat sangat terhadap ayahnya. Mohd Khaleel, penyunting kami kelihatan cuba menahan sebak.

Ayah mereka ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejurus selepas pulang solat isyak di masjid berdekatan kira-kira setahun lalu pada bulan April tahun 2007 atas tuduhan yang tidak dipastikan kesahihannya - dikatakan terlibat dengan kumpulan Jemaah Islamiyah, jelas Hidayu lagi.

Trauma dengan kejadian, tidak berapa lama kemudian, Hidayu berpindah rumah di Petaling Jaya ke teratak ayah bonda di Simpang Durian, Negeri Sembilan bersempadanan Pahang demi membesarkan ketiga-tiga anaknya yang masih kecil. Menampung kehidupan dengan mengajar kelas fardu Ain di sebelah petang dengan dibantu ayah yang menoreh getah.

"Abah, tengok gambar acik ni tangkap," kata Fathur kepada datuknya ketika Khaleel menunjukkan kamera digital kepadanya.

Ya, panggilan 'abah' tidak putus di bibir sang anak. Menghilangkan rasa rindu, datuknya juga dipanggil abah. Malah kehadiran kami selama sejam, dirasai cukup bermakna, kerana untuk seketika, ada teman sepermainan dan gurau senda mereka.

Hidayu yang cuba mengawal air matanya yang bergelinang menceritakan Fathur yang saban hari menyebut nama ayahnya malah lebih sayu melihat anak sulungnya itu terpinga-pinga tanpa jawapan pabila kawan-kawan tadikanya bertanyakan di mana ayahnya itu.

"Ini kali kedua mereka sambut Raya tanpa ayah...entahlah, bagaimana perasaan anak-anak saya melihat orang lain ada ayah sedangkan dia tidak..." kata Hidayu tersekat-sekat namun kuat semangat kerana disulami dengan kata perangsang suaminya:

" Insya-allah Allah akan gantikan masa di dunia ini dengan masa yang lebih baik di akhirat nanti." bisik suaminya ketika bertemu tempoh hari.

Hidayu hanya mampu berserah kepada ujian Tuhan dan bertahajud sebelah malam memupuk hati yang duka, lebih memilukan terpandang wajah tiga beranak yang direntap dan dahagakan kasih sayang seorang ayah.

Terasa berat untuk berpisah tatkala melihat keletah anaknya yang semakin mesra dengan kami namun perjalanan sejauh 180 kilometer dari Kuala Lumpur, bertujuan menyampaikan sumbangan simpati dan prihatin orang ramai kepada keluarga mangsa ISA bagi meringankan beban.

Nordin selaku ketua wartawan menghulurkan sumbangan sejumlah RM1,000 kepada Hidayu dan duit raya kepada anak-anaknya, sambil diperhatikan ayah bonda. Di pintu luar rumah, sekali lagi kami tertangkap kalimah Fathur yang menyentuh hati yang tidak mampu ditunaikan.

Di dalam kereta, tumpah jua air mata terkenang kata-katanya itu..."Acik, bawa ayah balik ya..."

dipetik dari www.harakahdaily.net

Rosmah habiskan RM7 juta beli 14 buah jam tangan?

Irwan Muhammad Zain
Tue | Oct 07, 08 | 10:34:44 am MYT

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Hrkh) - Benarkah Datin Seri Rosmah Mansor menghabiskan sebanyak RM7 juta untuk membeli 14 buah jam tangan di Hong Kong?


Penulis blog, Syed Azidi Aziz atau Sheih telah menimbulkan persoalan tersebut menerusi posting terbaru beliau di blognya kickdefella.wordpress.com.

Sheih yang baru-baru ini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama empat hari turut memaklumkan bahawa jam-jam tersebut dibeli untuk dihadiahkan kepada kepada beberapa individu di beberapa kementerian.

Namun begitu Sheih enggan mendedahkan nama pemberi maklumat tersebut dengan merujuk kepada wartawan di barat yang sanggup dipenjara daripada mendedahkan nama pemberi maklumat.

Persoalan yang ditimbulkan oleh Sheih ini merupakan siri pendedahan terbaru beliau sejak dibebaskan pada 20 September lalu.

Beberapa hari sebelum menjelang Aidilfitri beliau turut mendedahkan bagaimana Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menggunakan kedudukan beliau selaku Menteri Pertahanan untuk menambahkan kekayaan anak beliau Kamaluddin.

Pada hari raya kedua pula, Sheih mendedahkan Abdullah telah menerima RM200 juta daripada Rosmah. Wang tersebut merupakan sebahagian daripada komisen pembelian kapal selam yang turut dikaitkan dengan kematian Altantuya. - mns


dipetik www.harakahdaily.net

Dr Asri bersara mengejut mulai Nov?

Jimadie Shah Othman | Oct 6, 08 5:18pm
Ada "kemungkinan besar" Oktober menjadi bulan terakhir bagi tokoh agama terkenal Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkhidmat sebagai mufti Perlis.

Dr Mohd Asri berkata, beliau mungkin akan bersara lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya apabila kontraknya dijadual tamat Oktober tahun depan.

"Ini mungkin bulan terakhir bagi saya (sebagai mufti Perlis)," katanya dalam kepada Malaysiakini hari ini.

Dr Mohd Asri diminta mengulas desas-desus beliau akan meletakkan jawatan lebih awal sejak berkhidmat sebagai mufti mulai 2006.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat kerana keadaannya yang "tertekan."

Diminta mengulas lanjut tekanan itu sama ada tekanan politik, beliau enggan menyatakannya.

"Nanti saya akan cerita lain," katanya.

Bagaimanapun laporan-laporan di internet menyebutkan beliau tertekan akibat politik susulan sikapnya yang lantang dalam beberapa isu termasuk penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), peralihan kuasa dalam Umno, mubahalah isu liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan Hari Pahlawan di Tugu Peringatan Negara dan pengharaman penyanyi kontroversi Faizal Tahir.

Selain itu, beliau pernah hadir dalam forum yang dianjurkan Pakatan Rakyat di Kelantan selepas pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Dr Mohd Asri enggan mendedahkan tindakannya selepas bersara sama ada kembali bertugas sebagai pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, di ambang peralihan kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak sebelum 2010, Dr Mohd Asri mengulas tentang tanggungjawab orang Islam memilih pengganti yang berwibawa.

Menulis di blognya semalam, beliau berkata, rakyat dan pemimpin mesti memastikan bahawa "jawatan yang menentukan hala tuju masyarakat dan umat tidak jatuh melainkan ke tangan mereka yang benar-benar layak".

"Jangan jatuh ke tangan yang berkemampuan dan wibawa, tapi tidak amanah. Jangan juga jatuh ke tangan yang amanah, tapi tidak berkemampuan melaksanakan bebanan tugas," tulisnya.

Menurutnya lagi, menjadi pengganti pemimpin Islam merupakan perkara besar dan jawatan itu "bukanlah harta rampasan perang yang boleh dibahagi-bahagikan begitu sahaja."

dipetik dari www.malaysiakini.com

16 September : Strategi Anwar tersasar?

Wan Nordin Wan Yaacob | nordinnasrawi@yahoo.com
Mon | Oct 06, 08 | 3:12:37 pm MYT

Banyak cakap-cakap politik termasuk di warung kopi mempertikai kegagalan usaha Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membentuk kerajaan Pakatan Rakyat pada 16 September lalu.

Walaupun pelbagai alasan diberikan, namun ada yang melihat sejak peristiwa 16 September tidak menjadi kenyataan mereka tidak lagi mengimpikan kerajaan baru jika tiada bukti kukuh yang boleh mengesahkan pembentukan atas dasar lompt parti.

Ia bukan bermaksud tidak menerima usaha Anwar namun, rakyat lebih mahu jika sesuatu yang dirancang itu bukan setakat untuk dihebahkan tetapi menuju kejayaan yang memberi keuntungan kepada rakyat.

Namun menilai semula titik bengit '16 September'yang kini menanti '16 Oktober' ada yang melihat sekiranya Pakatan Rakyat menerajui Malaysia ini, persoalannya samada Dato� Seri Anwar Ibrahim (DSAI) seorang yang layak menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya?

Pastinya di minda para penyokong Anwar, nama Ketua Umum KeADILan itu menjadi ratib untuk mengisi jawatan nombor satu negara kerana bagi mereka berdasarkan pengalaman Anwar benar layak mentadbir.

Begitupun ada yang secara jujur melihat bahawa untuk faedah kepada rakyat yang mahukan perubahan pimpinan kerajaan adalah lebih utama jika Pakatan Rakyat sementara membincangkan siapa bakal menjadi Perdana Menteri.

Persoalan siapa bakal menjadi Perdana Menteri seharusnya tidak timbul kerana pastinya muafakat antara parti-parti yang bersatu di bawah Pakatan Rakyat boleh menyelesaikan titik pertembungan yang kurang enak dibahaskan ini.

Paling penting yang menjadi misi utama ialah Pakatan Rakyat menerajui negara tatkala Barisan Nasional mengenakan pelbagai cubaan untuk menyekat Pakatan Rakyat daripada melakukan perubahan pemerintahan negara.

Dalam hal ini rakyat di peringkat bawahan melihat Anwar sebagai 'pencetus perubahan' seharusnya mengubah strategi dan mempelbagaikan strategi sesuai dengan perkembangan politik semasa serta sentimen perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu.

Ada yang sinis menyatakan adakah usaha membentuk kerajaan itu seolah-olah hanya mampu dilakukan Anwar berseorangan tanpa sokongan tiga pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat.

Tidak salah sekiranya dalam mewar-warkan angin perubahan ini, Anwar sepatutnya sudah menanamkan keyakinan kepada rakyat, penyokong dan ahli Pakatan Rakyat bahawa sekiranya apa-apa berlaku pada dirinya Pakatan Rakyat mempunyai ramai pemimpin untuk meneruskan agenda perubahan.

Malah Pakatan Rakyat mempunyai ramai pemimpin yang berkaliber, professional dan berpengalaman untuk dilantik menjadi Perdana Menteri baik dari KeADILan, PAS, DAP atau mungkin dari mereka yang akan melompat parti.

Oleh kerana seolah-olah sekarang penyokong dan penentang Pakatan Rakyat ditanamkan dalam minda mereka hanya Anwar yang layak jadi Perdana Menteri, maka pelbagai tekanan terutamanya serangan peribadi dihadapkan ke atas Anwar.

Isu perkauman, isu kononnya kurang ahli Parlimen Melayu dalam kerajaan Pakatan Rakyat dan isu kerjasama Anwar-USA dijadikan bahan semata-mata untuk menyekat naluri perubahan yang dikehendaki rakyat.

Ia belum ditambah lagi dengan momokan buruk media terhadap Anwar selain melagakan antara pemimpin DAP, PAS serta KeADILan.

Seharusnya Anwar dapat membaca permainan kotor kerajaan Umno/BN yang tidak mahu kerajaan yang mempunyai lubuk wang melalui Petronas, hasil bumi, cukai dan balak terlepas kepada Pakatan Rakyat.

Pengalaman 'terkena' pada tahun 1998 seharusnya menjadi pedoman kepada Anwar untuk mengatur strategi yang tidak hanya diterjemah di dada media sebaliknya menjadi realiti.

Satu formula kongsi kuasan haruslah diadakan untuk menangani isu ini dengan pembahagian jawatan kabinet dan jawatan Timbalan Menteri mengikut peratusan kaum sedia ada yang diamalkan Barisan Nasional, mengikut peratusan pengundi, mengikut peratusan kaum atau mengikut peratusan ahli parlimen dan seterusnya.

Selain dari itu kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat serta pimpinan Pakatan Rakyat seharusnya menilai prestasi setiap wakil rakyat dan ahli Parlimen mereka sejauh mana menjalankan tanggungjawab mereka.

Ini akan menunjukkan keseriusan dan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk menerajui Malaysia secara amnya. - mr _


dipetik dari www.malaysiakini.com