Wednesday, December 17, 2008

ISA dan puaka disebaliknya

Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar semalam menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah baru-baru ini membebaskan 6 tahanan ISA termasuklah dua warga Thai. Dari enam yang dibebaskan itu dua merupakan dari Kumpulan JI, dua ditahan kerana disyaki ejen kepada perisik asing dan dua lagi iaitu warga Thai merupakan anggota kumpulan pemisah.

Bermakna ada tiga kategori tahanan yang dibebaskan iaitu pertama dari JI, kedua ejen perisik dan ketiga anggota pemisah Thai. Kategori JI ini telah banyak maklumat dan laporan yang kita perolehi dan diberikan kepada kita walaupun ternyata ia tidak pernah dibuktikan secara sahih di mahkamah terbuka, tetapi yang memusykilkan adalah dua kategori lagi.


Mengapa rakyat Malaysia tidak diberitahu tentang ejen perisik asing ini? Selain dari diumumkan nama kedua-dua tahanan yang dibebaskan itu iaitu Mohd Faizul Shamsudin dan M. Mavalavan, mengapa tak didedahkan aktiviti mereka? Untuk siapa mereka merisik dan apakah yang dirisik oleh mereka? Atau setelah disiasat seperti biasa kerajaan dapati tiada bukti untuk mensabitkan mereka, atau bagaimana?

Sudahlah mereka ditahan tanpa bicara, ditahan dalam keadaan sorok-sorok tiba-tiba dibebaskan pun begitu juga.

Seterusnya dalam bab tahanan warga Thai, mengapakah mereka diusir balik ke negara mereka (deported)? Jika mereka anggota pemisah Thai, tidakkah boleh kita memberikan perlindungan atau suaka politik kepada mereka atas sebab-sebaba perikemanusiaan? Dari segi peri kemanusiaan siapa pun tahu bahawa jika mereka dihantar pulang pasti mereka akan ditahan pula oleh Tentera Thai. Dari pengalaman kezaliman terhadap anggota pemisah Islam di Selatan Thai dan Narathiwat pada 25 Oktober 2004, kita telah boleh duga apakah nasib yang bakal menimpa Ab Rahman Ahmad dan Mohd Termizi Zakaria.

Sementara itu Kem Tahanan Kamunting terus menjadi kem puaka yang menahan tanpa bicara 46 tahanan ISA yang entah sampai bila akan dibebaskan. Selagi kem dan akta yang membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara ini wujud maka selagi itulah kerajaan ini akan memikul laknat dari keluarga dan tahanan yang dizalimi (sejak dari mula ia diwujudkan), termasuklah dari rakyat sendiri yang sudah tidak dapat menerima kezaliman seumpama ini.

dipetik dari blog Roslan SMS

Tuesday, December 2, 2008

Zaid Ibrahim dipecat dari Umno

Datuk Zaid Ibrahim dipecat daripada Umno ekoran tindakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pemecatan Zaid itu berkuatkuasa serta-merta.

Menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut, Abdullah berkata, Zaid juga tidak boleh merayu terhadap pemecatannya itu.

Sabtu lalu, Zaid menghadiri majlis perasmian kongres nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam.

Zaid juga dilaporkan berkata, beliau datang sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.

Jelas Zaid lagi, kehadirannya adalah untuk mendengar apa yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa dalam negara.

Surat tunjuk sebab

Awal bulan lalu, Zaid Ibrahim menerima surat tunjuk sebab dari Umno berkaitan dengan surat terbukanya kepada perdana menteri dan perjumpaannya dengan ahli-ahli Parlimen berhubung desakan memansuhkan ISA.

Parti itu meminta penjelasannya kerana turut sama menyertai majlis anti-ISA anjuran Pakatan Rakyat di Parlimen.

Zaid meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet kerana membantah tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap ahli Parlimen Teresa Kok, penulis blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan Sin Chew Tan Hoon Cheng, September lalu.

Beliau juga turut melepaskan jawatan senator.

Pada 29 September lalu, Zaid menulis sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menggesa beliau supaya memansuhkan ISA.

Zaid turut menjadi sasaran apabila beliau, dalam ucapannya, telah mempersoalkan status orang Melayu.

Berikutan itu, beberapa pemimpin Umno mendesak parti itu mengambil tindakan terhadap Zaid.

'Tiada pilih kasih'

Abdullah berkata, tindakan dikenakan ke atas Zaid dibuat kerana Umno perlu konsisten dalam tindakannya dan memastikan tidak wujudnya pilih kasih dalam mengambil tindakan displin terhadap anggotanya yang didapati bersalah.

Ada tindakan-tindakan Zaid yang dilihat sebagai perkara yang menyalahi (peraturan) parti," katanya.

Mengikut perlembagaan parti, anggota yang telah dipecat tidak boleh membuat rayuan.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan Kapten (B) Zahar Hashim pula digantung keanggotaannya selama tiga tahun kerana membuat beberapa kenyataan mengkritik parti.

Zahar sebelum ini telah membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Abdullah yang didakwa telah menyalahguna kedudukannya sebagai presiden Umno menjelang pemilihan parti dan pencalonan.

Beliau juga mendakwa berlaku penyelewengan dalam proses tender kerajaan untuk membeli helikopter baru bagi Angkatan Tentera Udara Malaysia (TUDM).

Isu-isu sensitif

Menyentuh mengenai isu-isu sensitif yang ditimbulkan anggota parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang dan akan dibincangkan dalam suasana yang terkawal.

Bagaimanapun beliau menasihatkan mereka yang hendak menimbulkan sesuatu perkara atau reaksi yang tidak disenangi oleh kaum lain, perlu bertanggungjawab di atas tindakan yang dibuat.

"Kita semua kena berhati-hati tanpa mengira kaum dan agama. Negara ini mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama. Jadi isu agama dan bangsa boleh menimbulkan reaksi tidak menyenangkan, perlu latih diri supaya dikawal. Tidak bawa apa-apa keuntungan dan kebaikan pada rakyat," katanya.

Ditanya mengenai pendirian Umno yang dikatakan terlalu bertolak ansur terhadap tindakan-tindakan parti komponen BN yang lain, Abdullah berkata: "Itu bukan bermakna kita diam langsung. Kita juga cakap dengan pemimpin-pemimpin berkenaan."

Pilihanraya kecil

Mengenai pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata, mesyuarat MT memutuskan supaya persiapan disegerakan.

MT juga, tambah beliau, mengarahkan bahagian-bahagian Umno lain, membantu Umno Terengganu dalam menghadapi pilihanraya kecil tersebut.

Kerusi parlimen tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Razali yang juga timbalan menteri pelajaran, meninggal dunia ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands sewaktu menghadiri permukiman anjuran Umno Terengganu.

Abdullah juga berkata, soal pemilihan calon bagi pilihanraya kecil tersebut, belum lagi diputuskan.

Bagaimanapun, katanya, Jawatankuasa Pengurusan Umno boleh mencadangkan calon yang layak dan tidak perlu diadakan mesyuarat MT untuk membuat keputusan mengenainya

dipetik dari www.malaysiakini.com